Jumaat, 18 Januari 2008

SUNNAH BERPUASA DI HARI ASYURA (HARI KE-10 DI BULAN MUHARAM)



Pada mulanya puasa Asyura adalah termasuk puasa yang fardu, namun setelah diwajibkan (disyariatkan) puasa Ramadan, maka puasa Asyura menjadi sunnah, sebagaimana penjelasan dari hadis berikut:


"Ketika Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam datang ke Madinah, maka baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa di hari Asyura, lalu baginda bertanya: hari apakah ini? Mereka menjawab: Ini adalah hari yang baik, hari dimana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu. Baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap puasa Musa dari kamu sekalian. Maka baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa". (Hadis Riwayat Bukhari (2004) dan Muslim (1130))


"Orang-orang Quraisy zaman Jahiliyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah juga berpuasa pada hari Asyura di zaman Jahiliyah. Setelah baginda sampai ke Madinah, maka baginda berpuasa pada hari tersebut dan menyuruh orang ramai berpuasa. Maka setelah puasa bulan Ramadan diwajibkan baginda meninggalkan puasa Asyura, baginda bersabda: Barangsiapa yang mahu, berpuasalah dan barangsiapa yang mahu berbuka tinggalkan puasa". (Muttafaq 'alaihi. Bukhari (2002) Muslim (1125))


"Dari Muawiyah berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Hari ini adalah hari Asyura, tidak diwajibkan bagi kamu berpuasa, tetapi saya berpuasa, maka barangsiapa yang mahu berpuasa ia boleh berpuasa dan barangsiapa yang mahu berbuka, maka ia boleh berbuka". (Hadis Muttafaq 'alaihi)


"Seafdal-afdal puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa di bulan Allah yang diharamkan (Muharam). Seafdal-afdal solat selepas solat fardu ialah solat malam". (Hadis Riwayat Muslim (1163). Nasai'i dalam Al-Kubra (2/2905,2906) . Ahmad (2/303,329,342, 535). Ad-Darimi (2/21). Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra (4/291). Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Musannaf (3/42). Abu Ya'la (6395). Ibnu Hibban dalam As-Sahih (2363). Dan Ibnu Khuzaimah (1134))


"Telah ditanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam. Apakah solat yang paling utama selepas solat wajib? Baginda bersabda: Solat di jauh malam. Baginda ditanya lagi: Puasa apakah yang lebih utama selepas puasa Ramadan? Baginda bersabda: Puasa di bulan Allah yang kamu panggil Muharam". (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

MENCONTOHI PUASA RASULULLAH


"Bahawasanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam ditanya tentang puasa Asyura, maka baginda bersabda: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam menyuarakan agar berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 dalam bulan Muharam. Baginda bersabda:

"Semasa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu'a (hari ke-9 di bulan Muharam). (Berkata Ibn Abbas:) Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah wafat". (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Sebagai kesimpulannya, adalah disunnahkan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 di bulan Muharam.

Sumber:
http://fiqh- sunnah.blogspot. com

0 Comments:

© free template 3 columns