Isnin, 13 Oktober 2008

Upacara mati hidup semula

KUIL Wat Prommanee telah menjalankan upacara keranda selama empat tahun. Namun, sejak dua tahun lalu, kehadiran pengunjung meningkat hampir tiga kali ganda, berbanding 100 orang setiap hari.

Seorang penduduk Bangkok yang berusia 39 tahun, Namfon Mamuenwai berkata, dia sanggup mati untuk lelaki yang dicintai jika ia hanya untuk seketika.

Namfon masuk ke dalam keranda di kuil Buddha untuk merasai pengalaman mati dan dilahirkan semula dengan penyucian karma. Semuanya dengan harapan untuk menyertai kekasihnya yang berbangsa asing di Belanda.

"Saya mahu ke negara lain, tetapi tidak memperoleh visa," jelas Namfon.




Seminggu selepas menyaksikan satu upacara di kuil Wat Prommanee menerusi televisyen, Namfon sanggup memandu sejauh 112 kilometer (km) dari Bangkok untuk menjadi salah seorang daripada 2,000 orang yang setiap minggu masuk ke dalam keranda untuk 'mati' dan 'dilahirkan semula'.

"Saya rasa ini sedikit sebanyak boleh membantu saya kerana kuil ini semakin popular," ujarnya.

Upacara keranda kini menjadi trend penganut Buddha yang melanda Thailand. Sami yang berpakaian kuning di kuil Wat Prommanee menjanjikan wang, cinta atau dalam kes Namfon, visa untuk ke Belanda.

"Semua yang datang ke sini, bersembahyang dan memohon hajat. Mereka akan dapat apa yang dihajati," kata salah seorang sami di kuil tersebut, Charuay Thanavaro.

Mengikut upacara ini, pengunjung perlu masuk ke dalam sebuah kotak. Ketika itu, sami- sami akan cuba membiasakan orang untuk masuk ke dalam keranda. Kini, pengunjung gembira berpeluang merasai 'kematian' semata-mata untuk memperbaiki nasib masing-masing.

Jampi atau mentera di dalam keranda dikenakan bayaran sebanyak 100 baht (RM10.50) untuk tempoh dua minit, manakala upacara keseluruhan memerlukan bayaran sebanyak 180 baht (RM18.30).

Charuay mencadangkan setiap pengunjung yang menyertai upacara tersebut membayar untuk pakej keseluruhan jika mereka mahu hasrat atau impian mereka tercapai sepenuhnya.

"Jika mereka hanya mahu menghadiri upacara berkenaan dan berdoa, itu tidak mengapa. Tetapi mereka hanya akan mendapat 80 atau 90 peratus hajat yang diminta.

"Sebaliknya, jika mereka berbaring di dalam keranda, 100 peratus hajat mereka akan dipenuhi," jelas Charuay yang telah lama menjadi sami di Wat Prommanee.


SETIAP pengunjung akan memegang sejambak bunga sambil memohon hajat sebelum berbaring di dalam keranda.


Selepas 90 minit berdiri sambil membaca ayat-ayat suci, barisan pengunjung yang menunggu akan memasuki sembilan buah keranda yang disediakan. Setiap keranda ditanda dengan nombor tiga digit yang boleh digunakan untuk membeli loteri, tambah pihak penganjur.

Apabila berada dalam keranda, pengunjung akan memegang sejambak bunga, berbisik beberapa rangkai doa, kemudian berbaring dan 'mati'.

Sami akan membentangkan kain putih yang merentangi sembilan buah keranda tersebut, sebagai simbolik kematian untuk 'menyedut' karma jahat pada setiap tubuh pengunjung.

Pelawat atau orang yang berada di sekitar kuil tidak digalakkan berdiri di bahagian tepi keranda kerana di situlah, karma jahat diusir keluar.

Azimat dan upacara perlindungan ritual, kekayaan atau untuk mencapai hajat memainkan peranan penting dalam budaya negara yang 95 peratus penduduknya beragama Buddha.

Kebangkitan semula upacara berbentuk keagamaan ini bukan sekadar ikutan, kata Milos Hubina, pensyarah di College of Religious Studies di Mahidol University, Thailand.

"Ia melambangkan kepercayaan terhadap magik dan azimat yang diperoleh daripada sami atau orang-orang tertentu," ujar Hubina.

Seperti kebanyakan penganut Buddha yang lain, Thanyathon Iamnaimuang, 50, juga ke kuil itu. Kejayaannya mencapai hajat mendorong ibu tunggal kepada dua orang anak itu membawa kawannya, Laongdao Chaiyasat ke kuil tersebut.

"Pada awalnya saya amat teruja, gementar dan takut. Tetapi sami memberitahu saya bahawa jika minda kuat, kami akan melalui proses ini dengan baik. Jadi, saya sudah tidak takut lagi," kata Laongdao, 42, yang bekerja sebagai ahli farmasi.

Patacharawarai Sri-on, 23, datang ke kuil dengan perasaan tertanya-tanya dan sempat mengambil beberapa keping gambar sebelum masuk ke dalam keranda kayu yang disediakan.

"Saya rasa upacara ini banyak membantu," katanya selepas upacara kematian dan kelahiran semula dirinya lengkap disempurnakan. - AFP

(( Alangkahnya baiknya jika kita kembali kepada agama yang sebenar.....Ambillah pengajaran dan pedoman dari apa yang kita lihat dan baca...jadikanlah ia sebagai sandaran untuk menilai sesuatu dengan matang..jangan hanya menilai dengan mata kasar tapi gunakanlah dengan neraca Iman kerana ianya pasti benar dan tidak pernah memungkiri janjinya....))


0 Comments:

© free template 3 columns