
Abdullah Ahmad Badawi bersalam dengan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail ketika hadir pada Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang di Pejabat UMNO Bahagian Tasek Gelugor, semalam. Turut sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Rashid Abdullah (kiri). – BERNAMA
Menurut Perdana Menteri, perkara yang berkaitan dengan agama, kontrak sosial atau melibatkan perkauman tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia akan menyebabkan kaum-kaum berkenaan berasa bahawa sensitiviti mereka diketepikan.
“Saya ingin menyatakan bahawa kebelakangan ini saya lihat perkara berkaitan dengan kaum sudah menjadi perkara yang menimbulkan keresahan dan rasa tidak senang hati di antara kaum-kaum yang ada di negara kita sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.
“Apa yang berlaku itu kononnya adalah kebebasan untuk bercakap dan menyuarakan pandangan sesuka hati mengikut apa yang dirasai oleh orang berkenaan, ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di bangunan UMNO di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua UMNO bahagian termasuk Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, semua pihak perlu memahami bahawa negara ini sentiasa menguruskan isu melibatkan kaum dengan begitu baik sejak penubuhan Perikatan sehingga ke hari ini.
‘‘Yang penting ialah kita mengawasinya. Ini ditujukan kepada media-media, blog dan SMS (khidmat pesanan ringkas) yang macam-macam keluar dan buat cerita yang bukan-bukan serta surat khabar yang membuat pemberitaan yang boleh menimbulkan rasa marah.
‘‘Ini tidak akan bawa kebaikan kepada mana-mana pun, kita tidak mahu negara kita jadi kelam-kabut dan timbul perbalahan, jika ini timbul semuanya akan kalah dan yang rugi adalah kita semua, kita semua yang akan menerima kerugian,” katanya.
Oleh itu, ujar beliau, adalah amat penting bagi semua termasuk akhbar supaya memahami perkara berkenaan kerana kebebasan akhbar tidak boleh digunakan untuk menyatakan atau mentakrifkan sesuatu perkara secara suka hati.
Malah, katanya mensensasikan perkara sensitif juga bukan sesuatu yang wajar dilakukan kerana ia akan menimbulkan keadaan yang tidak baik di kalangan rakyat.
‘‘Saya harap perkara ini akan difahami oleh semua pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akhbar supaya berhati-hati dalam perkara berkaitan sensitiviti agama dan kaum demi keselamatan negara pada masa depan,” katanya.
Bagi Barisan Nasional (BN), Abdullah memberitahu, kerajaan akan meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat untuk membangunkan negara dan memfokus sepenuhnya kepada hal-hal berkaitan pembangunan dan kepentingan rakyat serta kemajuan negara.
‘‘Inilah negara kita, yang kita cinta dan negara yang kita akan bekerja ke arah kemakmuran. Kita adakan hubungan baik antara kaum maka harap difahami oleh semua pihak dan sama-sama menjaga serta melaksanakan tugas untuk jaga ketenteraman,” katanya.
Membangun bersama ilmu, bergerak bersama wawasan.
0 Comments:
Post a Comment