Kamu dilahirkan dalam keadaan yang sempurna fizikal dan mental. Tidak seperti sesetengah insan yang sedari lahir diuji dengan kecacatan. Ditambah pula, kamu dibesarkan dalam keluarga yang agak senang. Kamu tidak pernah merasa peritnya tiada makanan mahupun sakit akibat kesejukan malam dek kerana tiada tempat tinggal. Akalmu juga bagus. Setelah lulus cemerlang UPSR, kamu ditawarkan belajar di sekolah yang ternama. Mungkin sekolah berasrama penuh mahupun MRSM. Bukan semua yang lulus peperiksaan itu mendapat peluang yang serupa. Pencapaian akademikmu tidak terhenti setakat itu sahaja. Kamu juga lulus cemerlang PMR dan SPM. Nikmat Allah itu ternyata amat luas. Tidak cukup dengan itu, kamu juga ditawarkan belajar di sebuah universiti terkemuka di luar negara dengan segala perbelanjaan ditanggung sejurus tamat peperiksaan ketika orang lain masih meraba-raba dalam kegelapan mencari sinar hidup. 
Namun, apakah tujuannya semua ini? Mengapa ketika ada insan lain yang diuji dengan kepayahan dan kesusahan, kamu diberikan segala bentuk nikmat dan kemewahan? Dalam surah al-Ankabut ayat 2 Allah telah berfirman:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"
Ayat tersebut amat jelas. Setiap manusia yang mengaku beriman pasti akan diuji. Ujian Allah itu tidak terhad dalam bentuk kesusahan. Mungkin segala nikmat yang diberikan adalah ujian dariNya. Allah mahu melihat sejauh mana kita bersyukur diatas segala nikmat yang telah diberikan. Adakah kita menggunakan segala yang diberikan itu diatas jalanNya? Ataupun disebabkan segala kemewahan dan kesenangan itu, kita menjadi alpa dan hanyut dibuai hidup lalu lupa kepada si Pencipta. Apakah sebenarnya tujuan kita diberikan nikmat akal yang sempurna, kondisi belajar yang baik sedari kecil di tadika sehinggalah ke menara gading? Adakah supaya kita berjaya sendiri dan hasilnya hanya untuk diri kita dan keluarga? Bagaimana pula dengan masyarakat disekeliling dan saudara seIslam yang memerlukan bantuan kita? Wahai teman-teman seperjuangan sekalian, anda tahu jawapannya.
Membangun bersama ilmu, bergerak bersama wawasan.
Reviews Pda Gps
10 tahun yang lalu
0 Comments:
Post a Comment