Manis Muka
Di antara sifat-sifat yang boleh membukakan hati orang ramai kepada
pendakwah dan menjadikannya dapat diterima dan dimesrai ialah sifat
manis muka dan manis tutur kata.
Muka adalah menjadi petunjuk pada seorang pendakwah, menjadi cermin yang
melantunkan apa yang tersemat dalam lubuk hatinya. Kiranya beliau
bermasam muka, keadaan itu menunjukkan beliau seorang yang sempit dada
dan mudah keluh-kesah tetapi kiranya beliau seorang yang sentiasa
bermuka manis, keadaan ini akan membayangkan kebaikan.
Wajah yang manis bukanlah bererti kecantikan dan keindahan paras rupa,
kerana boleh jadi paras rupa cantik tapi tidak terdapat padanya
kemanisan. Sebaliknya boleh jadi paras wajah yang hodoh tetapi ia penuh
dengan kemesraan dan keriangan.
Seorang pendakwah mestilah membiasakan diri berwajah cerah sekalipun
beliau terpaksa melatih dirinya berbuat demikian. Beliau juga mestilah
membiasakan dirinya sentiasa tersenyum walaubagaimanapun keadaannya yang
menderita dan menekan.
Kejayaan seorang pendakwah tersembunyi pada kemampuannya menyesuaikan
diri dan menguasainya, bukan sebaliknya. Beliau juga mestilah mampu
mengawal dirinya pada semua keadaan yang dilaluinya. Beliau mestilah
bijak memilih perkataan supaya sesuai dengan tempatnya.
Saya kenal sesetengah para pendakwah yang keluar menghadapi orang ramai
dengan senyum yang melimpah di muka mereka sedangkan di dalam hati
mereka merendam dukacita dan permasalahan yang Allah sahajalah yang
mengetahuinya.
Saya juga mengenal para duat lain yang tidak mampu menguasai diri mereka
berdepan dengan masalah yang kecil, anda dapat melihat kesannya dengan
jelas pada wajah mereka juga melalui tindak-tanduk mereka, pada waktu
itu anda merasakan seolah-olah andalah yang telah melakukan kesalahan
terhadap mereka.
Saya dengar seorang pendakwah yang sering memberikan ucapan di hadapan
orang ramai di kampung-kampung di Mesir, beliau telah meninggalkan
anaknya di Kaherah dalam keadaan sakit tenat. Sedang beliau berucap
salah seorang dari keluarganya telah masuk ke dalam dewan syarahan dan
menghampiri pentas dan menyerahkan secebis kertas, setelah beliau
membacanya beliau lalu meneruskan ucapannya seperti biasa dan dengan
para hadirin tidak dapat melihat sebarang kesan. Setelah beliau selesai
dari ucapannya beliau terus menjawab berbagai soalan dengan jiwa yang
lapang dan dada yang luas. Kemudian orang ramai terkejut apabila mereka
mengetahui bahawa cebisan kertas yang diberikan kepadanya tadi membawa
berita tentang kematian anaknya yang sakit tenat itu.
[Konsep Penguasaan Dalam Kehidupan Dakwah dan Pendakwah - Utz. Fathi
Yakan]
******************************
Berdasarkan riwayat Muslim dari Abu Dzar r.a. berkata, bersabda
Rasulullah SAW:
"Jangan meremehkan kebaikan apapun bentuknya walau sekadar bermuka cerah
ketika bertemu saudaramu."
******************************

0 Comments:
Post a Comment